Ahad, 27 September 2015

Nuh dah boleh berjalan

Hari ini Nuh genap 40 hari. Sudah kerap membuka mata. Memandang ke sana dan ke sini. Tapi nanny kata, "Nuh masih belum boleh nampak apa-apa".

Jerebu sangat teruk diluar rumah, tetapi hujan turun dengan lebat. Mudah-mudahan boleh mengurangkan jerebu. Cuaca agak sejuk lalu tertidur. Tidur petang kali ini agak pelik sebab bermimpi. Mimpi yang pelik pula.
 
Dah boleh berjalan? - Gambar hiasan
Bermimpi Nuh dengan usia itu, telah boleh berjalan! Dalam mimpi itu, sempat juga memanggil nanny si Nuh ni, bertanya, bolehkah bayi berjalan tanpa proses mengiring, meniarap, merangkak dan sebagainya...?

Tapi bila nanny menoleh pada Nuh, dia tidak berjalan. Nuh berjalan semula selepas itu. Hanya datuk saja yang nampak Nuh berjalan. Dan semua ini di dalam mimpi. Hahaha...
 
Bila bercerita semula selepas bangun dari tidur, isteri menjawab, "Itulah... cucu balik Shah Alam tadi, atuk tak jumpa, asyik tidur jer..."  Jawab semula, "Bukan atuk lah.... datuk...ok...  hihihi..."
 
Nuh dah boleh berjalan hari ini... tapi di dalam mimpi datuk...
 
 

Khamis, 24 September 2015

Hari Raya bersama Nuh

Bila Nuh lahir dan jadi cucu pertama, tentulah banyak jadi yang pertama dalam banyak peristiwa bersamanya. Hari ini Hari Raya Aidil Adha dan buat kali pertamanya berhari raya bersama Nuh.
 
Umurnya sudah 37 hari.  Meskipun masih dalam berpantang dan tinggal sementara di Shah Alam, dapat juga bersama-sama berhari raya di Bandar Tun Razak; di rumah moyangnya. Walaupun cuma seketika, terubat juga rindu nanny itu untuk dukung dan membelai cucu sulungnya. Datuk hanya cuit pipinya saja. Masih belum mencuba dukung Nuh. Kecil sangat.

Nanny membelai, datuk merenung
Nuh tersenyum bila di agah-agah walaupun asyik melelapkan mata saja.  Puas mengejutkannya untuk melihat matanya.  Apabila terjaga, dapatlah lihat sinar matanya dan senyuman yang terukir dibibirnya.

Sesekali terdengar suaranya menangis. Tangisan bayi bermelodi indah pada kita yang dah lama tidak mendengar suara anak kecil ini. Tapi pada mummy dan ayah, tentulah suara tangisan boleh mengundang gelisah.

Biasalah. Putaran hidup.

 

Isnin, 31 Ogos 2015

Nama, Tarikh Lahir dan Angka

Alhamdulillah, selain Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaannya; hari ini juga genap 14 hari kelahiran Nuh; cucu yang asyik terpejam matanya itu.  Susah untuk melihat wajahnya dalam keadaan terjaga. Tapi dalam mata tertutup, bibirnya mengukir senyuman. Comel.
 
Pada hari kelahirannya, datuk ini telah membuat kiraan pada angka-angka yang berkaitan  dengan Nuh.  Ilmu numerologi yang ada amat membantu dan setiap nombor itu ada cerita di sebaliknya. Jangan salah faham, ini bukan cerita menilik atau menujum yer....
 
Nuh dan uncle My sama-sama mempunyai elemen air.  Serasi bersama.
 
Nama Nuh Zill Qayyim apabila ditukarkan kepada nombor-nombor tertentu akan membawa kepada angka 7, 5 dan 9. Nombor 7 mewakili sokongan/nasib baik, nombor 5 adalah tanggungjawab dan nombor 9 bermaksud kejayaan/kekayaan. Sesuai dan serasi untuk memanggilnya samada Nuh, Zill dan Qayyim atau nama penuhnya juga.
 
Nuh dilahirkan pada 18 Ogos 2015, jam 9.13 pagi dan seberat 2.36kg.  Tertarik dengan beratnya, kerana keluarga kami mempunyai banyak nombor 2367.  Nombor rumah, nombor kereta, nombor hp, nombor telefon dan apa saja yang berkaitan, ada dan cuba di selaraskan dengan nombor 2367.  Apabila berat Nuh 2.36kg., datuk ini mencari-cari dimanakah nombor 7 dihujungnya?  Apabila dicampurkan semua nombor pada tarikh lahirnya 18.8.2015 maka terjumpalah nombor 7 yang dicari itu.  Rupanya ada nombor 2367 juga pada cucu ini.
 
Apabila menghuraikan angka-angka pada tarikh lahirnya, nombor 7 menjadi nombor akarnya dengan elemen air.  Ia bercirikan seseorang yang bernasib baik, mempunyai ramai kawan yang menyokong, berteka-teki, suka berfikir, bijak dan mementingkan kualiti.

Berbalik kepada tarikh kelahiran 18 Ogos 2015, sifat-sifat tenaga yang ada secara amnya adalah seperti berikut dan ia terpakai kepada semua yang lahir pada tarikh ini, iaitu:

Perwatakan:

Individu ini tidak akan lupa kepada sesiapa yang pernah menolongnya.  Sangat menghargainya dan akan berterima kasih.  Berkebolehan dalam tuturkata dan mempunyai banyak perkara yang hendak diperkatakannya.  Mengejar kemasyhuran dan tuah.  Tetapi mempunyai pemikiran yang suka berubah-ubah dan mudah menukar keputusan.

Perangai:

Percaya dan yakin pada diri. Seorang yang bercakap dengan gaya tersendiri untuk berjaya dan boleh mencapai kejayaan itu.  Seorang yang sangat sibuk dan emosional jika berada di dalam keadaan tertekan.

Kerjaya:

Makanan, restoran, berita, majalah, telekomunikasi, perniagaan online, penjenamaan, perhubungan awam, penulis, ahli psikologi dan sebagainya.

Panjang lagi jika hendak dihuraikan. Biar setakat ini dahulu.
 
Semoga Nuh menjadi anak yang soleh, bertanggungjawab, berjaya, disukai ramai, cerdik dan dikelilingi cendikiawan. InsyaAllah dan Aamiin...
 
 
 

Isnin, 24 Ogos 2015

Nuh Zill Qayyim

Alhamdulillah,  hari ini genaplah 7 hari umur Nuh, nama pendek dari nama penuh yang berjela itu.  Hari ini juga, ayahnya membuat pendaftaran kelahirannya di JPN Taman Melawati.

Dalam seminggu kelahiran ini, seperti bayi yang lain, matanya asyik terpejam saja. Cuma sesekali terjaga untuk menyusu dan seperti meminta lampinnya ditukar. Allhamdulillah, tali pusatnya juga telah tanggal semalam, hari ke enam kelahirannya.

Sesekali membuka mata melihat alam nyata
Bila bertanya anak tentang makna nama Nuh Zill Qayyim, katanya Nuh itu nama nabi dan Zill Qayyim bermaksud perlindungan yang berharga.  Bila dirujuk kepada ustaz Hariz , katanya maksud Zill Qayyim ialah keteguhan.

Walau apa pun maksudnya, kita sama-samalah berdoa agar Nuh  menjadi anak yang soleh dan sentiasa berada di dalam rahmat Allah.




 

Selasa, 18 Ogos 2015

Kelahiranmu

daAlhamdulillah, syukur kehadrat Allah s.w.t kerana dengan limpahan rahmatNya, dapatlah terus bernafas di dunia ini dan diberikan ilham untuk lahirnya blog ini bersama lahirnya seorang insan.

Apalah kelebihan dan kegembiraan menjadi seorang ayah kepada anak yang telah berkahwin selain menanti kehadiran seorang cucu.  Dan hari ini adalah harinya.
 
 
Tepat jam 9.13 pagi ini di Hospital Ampang, Selangor; lahirlah seorang bayi yang ditunggu-tunggu oleh ayah dan ibunya, datuk dan neneknya serta seisi keluarga yang lainnya. 
 
Masih ternyiang-nyiang suara isteri apabila menalifon dan memberitahu berita gembira itu.  Walau tak nampak di mata, tetapi dari nada suara itu, terbayang betapa gembiranya dan beriya-iyanya dia memaklumkan perkhabaran yang ditunggu-tunggu itu.  Terbayang keceriaannya dan mungkin ada airmata yang bergenang dikelopak matanya. 

Pada waktu itu, tanpa menerima apa-apa darjah kebesaran dari mana-mana istana, gelaran Datuk menjadi milik datuk ini.  Sempat mengusik isteri dengan memanggilnya 'Datin' apabila mengucapkan syukur dan tahniah kepadanya.
 
Ketika sampai di hospital di waktu tengahari, isteri tidak sabar-sabar ingin turun dari kereta untuk menatap wajah cucu sulungnya.  Minta segera diturunkan di depan lobi hospital.  Hanya tersenyum sambil mencari parking kereta selepas itu.  Dan akhirnya, pada jam 12.52 tengahari, dapatlah mata ini buat pertama kalinya menatap cucu seberat 2.36kg yang cukup comel itu. 

Alhamdulillah, syukur kepadaMu Ya Allah. Anak gembira. Menantu ceria. Cucu sihat.  Sukar untuk menggambarkan perasaan ketika itu.  Masih sukar untuk menggambarkan perasaan ketika ini. Biarkan waktu menggambarkannya nanti.
 
Dan cucu lelaki bertuah itu diberi nama Nuh Zill Qayyim Bin Mohd Zulfadli Adhwa.


 
Nota suka-suka:

Ramai yang mula ucap tahniah kerana dah jadi datuk hingga ada yang bertanya - Dapat dari istana mana?

Dapat dari tuhan.